Friday, April 4, 2014

'Ada pihak mahu laga Malaysia-China'

 'Ada pihak mahu laga Malaysia-China' 
Najib ditemani rakan sejawatnya dari Australia, Tony Abbott mendengar taklimat tentang operasi MH370, semalam.

PERTH - Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menolak kemungkinan kejadian culik warga China di Semporna, Sabah dilakukan oleh pihak tertentu yang mahu mencemarkan hubungan antara Malaysia dengan China.

Perdana Menteri menyifatkan kejadian penculikan itu sebagai serius dan telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan yang relevan supaya melihat kes itu dengan serta-merta.

Malaysia juga katanya, telah menghubungi pihak berkuasa Filipina dalam usaha membantu mengesan mangsa yang diculik oleh sekumpulan lelaki di Semporna, Sabah, malam kelmarin.

“Kerajaan tidak tolak kemungkinan kes penculikan di Semporna perbuatan pihak tertentu untuk keruhkan hubungan Malaysia-China.

“Tumpuan utama ketika ini adalah untuk menyelamatkan tebusan,” katanya selepas mengadakan lawatan di pusat koordinasi pencarian MH370 di Pangkalan Udara  Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di sini, semalam.

Pada Rabu, seorang pelancong wanita warga China dan seorang pekerja sebuah resort warga Filipina diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Pulau Singgahmata, Semporna, kira-kira pada jam 10.30 malam.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek mengesahkan kejadian itu dan menyatakan, siasatan awal mendapati kes berkenaan tiada kaitan dengan kumpulan pengganas.

Memetik laporan AFP, dua wanita dipercayai dilarikan dari Singamata Reef Resort selepas enam lelaki bersenjata menyerbu resort peranginan berkenaan.

Kata Najib, semua usaha mengesan mangsa penculikan itu akan berterusan dan mengenal pasti mereka yang terbabit dalam kejadian itu mungkin ambil sedikit masa.

No comments:

Post a Comment