Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan bahawa berlaku kecurian di rumah anak sulungnya, Nurul Hidayah, di Country Heights Kajang dekat sini.
Beliau bagaimanapun berkata tiada sebarang kesan pecah masuk dalam kejadian itu.
"Ya (ada kecurian), barang sahaja yang hilang, tapi pintu tak pecah, tingkap juga tak pecah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, dan berkata antara barang yang hilang ialah dua utas jam tangan serta wang tunai RM1,000.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Nurul Hidayah, 35, yang merupakan Naib Presiden Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Perumahan Negara Berhad dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta politik, juga pernah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang pada Mac lepas, sebelum menarik diri.
Diminta mengulas laporan akhbar yang mendakwa 95 peratus pembantu rumah memasuki negara ini menggunakan ejen haram, Ahmad Zahid berkata laporan itu dilihat tidak tepat.
"Ada kemungkinan syarikat pengambilan pembantu rumah ini berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia, namun telah disalah ertikan sebagai ejen haram," katanya.
Beliau berkata, proses pengambilan pembantu rumah, sama ada melalui ejen atau individu, dan setiap permohonan termasuk Journey Performed Visa (JP Visa) yang dilakukan individu sentiasa dipantau serta perlu melalui beberapa tapisan sebelum diluluskan. - Bernama
No comments:
Post a Comment