Monday, April 7, 2014

Amah ditemui mati leher dijerut

Amah ditemui mati leher dijerut  
Polis menjalankan siasatan terhadap kematian pembantu rumah warga Indonesia yang ditemui dengan kesan jerutan di leher di sebuah rumah di Taman Tasek Mewah, semalam. Gambar kecil: Mayat mangsa yang ditemui ditutupi selimut yang disangka tidur oleh majikannya di ruang tamu rumah terbabit.
 
IPOH – Seorang wanita pembantu rumah warga Indonesia ditemui mati tertiarap di ruang tamu dalam keadaan leher dijerut dengan tuala di sebuah rumah di Taman Tasek Mewah di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Sudarti, 32, yang berasal dari Jawa Tengah bekerja sebagai pembantu rumah dan menjaga dua warga emas sejak 18 bulan lalu di rumah terbabit.

Seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, dia terdengar seorang wanita menjerit dua kali kira-kira jam 3 pagi ketika sedang mengulang kaji pelajaran sebelum terkejut dengan kehadiran polis di sebelah rumahnya.

“Saya terdengar perempuan menjerit awal pagi dan mengingatkan ibu saya mengigau ketika tidur. Saya tidak mengesyaki apa-apa ketika itu dan tidak pula mendengar sebarang bunyi bising datang dari rumah sebelah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa ditemui oleh majikannya yang berusia 40 tahun yang datang melawat ibu dan ibu mertuanya yang dijaga mangsa selepas menghantar anaknya ke sekolah berhampiran.

Menurutnya, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat dari pengadu yang terkejut menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dan ditutupi selimut selain keadaan dalam rumah yang mencurigakan.

“Pengadu datang ke rumah mendapati keadaan pintu hadapan dan pagar rumahnya berkunci dan membuka puntu menggunakan kunci pendua. Setelah diperiksa, dia menemui mangsa terbaring di ruang tamu rumah ditutupi dengan selimut dan dia menganggap mangsa masih tidur.

“Ketika menggerakkan mangsa, dia terkejut apabila mendapati ada tuala jerut di leher dengan lidah terkeluar dan sedikit kesan darah sebelum dia bertindak menghubungi polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Chang Keong berkata, dalam kejadian itu kedua-dua wanita warga emas berusia 72 dan 82 tahun yang dijaganya tidak mengalami apa-apa kecederaan malah, tidak mengetahui kejadian sebenar yang menimpa pembantu rumah itu.

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang tanda-tanda rumah berkenaan digeledah melainkan pintu belakang rumahnya sedikit terbuka. Sehingga kini, tiada sebarang barangan berharga dilaporkan hilang.

“Kali terakhir pengadu menemui mangsa adalah malam tadi (kelmarin) sebelum meninggalkan rumah terbabit kira-kira jam 10.45 malam,” katanya.

Tambahnya, kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment