Wednesday, July 9, 2014

Kudung tangan kerana mercun

Kota Bharu: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun terpaksa dipotong separas pergelangan tangan selepas mercun yang belum sempat dibaling meletup dan menghancurkan tapak tangannya di Kampung Tiang Chandi, Lubok Stol, Pasir Mas, malam Sabtu lalu.

Tapak tangan kanan pelajar tingkalan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tiang Chandi Abu Bakar Nasir terpaksa dipotong doktor yang merawatnya kerana ia hancur dan tidak dapat dijahit lagi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, Abu Bakar dikatakan dalam perjalanan dari rumah ke Masjid Tiang Chandi, Lubok Jong, Pasir Mas untuk menunaikan solat Tarawih apabila menemui sebiji mercun bola di tepi jalan.

Difahamkan, Abu Bakar menyalakan mancis dan membakar sumbu mercun ditemuinya itu tetapi ia terus meletup dalam genggaman.

Foto

Mangsa dikejarkan ke Hospital Lati, Pasir Mas untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Abu Bakar adalah mangsa mercun kedua di Kelantan selepas kejadian pertama Jumaat lalu apabila seorang pelajar tingkatan dua putus tiga jari tangan kanan akibat bermain mercun bersama rakannya di Kampung Gual Periok, Rantau Panjang.

No comments:

Post a Comment