
Brohan (dua, kiri) memantau proses pengambilan sampel yang dilakukan pegawai kesihatan di
bazar Ramadan, kelmarin
PONTIAN - Jabatan Kesihatan daerah dengan kerjasama Majlis Daerah Pontian (MDP) mengambil sampel makanan yang dijual di sembilan lokasi bazar Ramadan di seluruh daerah bagi memastikan juadah tidak dicemari kuman.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Daerah Pontian, Brohan Aziz berkata, sampel makanan dan minuman diambil secara rawak dengan tumpuan diberikan kepada makanan yang menjadi pilihan orang ramai terutama lauk-pauk.
“Pengambilan sampel dilakukan ketika operasi bersepadu yang dilakukan secara mengejut bermula kelmarin.
“Operasi bersepadu dilakukan selama 13 hari berakhir 15 Julai membabitkan 18 pegawai jabatan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Katanya, peniaga dan premis turut tidak terkecuali diperiksa bagi memastikan amalan kesihatan seperti pemakaian apron, kebersihan tangan dan sebagainya dipatuhi.
“Masih terdapat peniaga tidak mengikut garis panduan penyediaan makanan. Mereka menyediakan makanan lebih awal sedangkan sepatutnya makanan hanya boleh disediakan dalam tempoh empat jam sebelum dijual.
“Tindakan peniaga yang menyediakan makanan lebih awal dikhuatiri akan tercemar dengan kuman dan penyakit,” katanya ketika ditemui ketika operasi bersepadu di bazar Ramadan di pekarangan Stadium Mini Pontian, petang kelmarin.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil termasuk mengeluarkan notis amaran supaya peniaga menghentikan perniagaan sekiranya keputusan makmal mengesahkan sampel yang diuji dicemari kuman.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai membuat aduan kepada jabatan sekiranya keracunan makanan selepas menikmati juadah berbuka puasa yang dijual di bazar Ramadan.
“Aduan dikemukakan akan disusuli dengan pemeriksaan ke atas premis makanan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Sehingga kini, Jabatan Kesihatan daerah masih belum terima aduan keracunan makanan berkait dengan bazar Ramadan,” katanya.
No comments:
Post a Comment