
Palanivel
berkata kerajaan China telah menunda penghantaran dua ekor panda dari
Chengdu, China iaitu Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) ke penghujung
Mei nanti ketika sidang media di pejabatnya di Kementerian Sumber Asli
dan Alam Sekitar di Putrajaya hari ini - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Kedatangan dua Panda Gergasi dari China ke Malaysia, yang pada mulanya dijadual pada 16 April, ditangguh ke akhir bulan bulan depan.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata kerajaan China menunda penghantaran dua beruang itu, Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) kerana kesibukannya menangani usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370, yang penerbangannya dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.
Sebanyak 153 daripada 227 mereka yang berada dalam pesawat yang hilang pada 8 Mac itu adalah warganegara China. Gerakan mencari pesawat berkenaan memasuki hari ke-35 hari ini.
Palanivel berkata beliau memberi penjelasan tentang perkara itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
"Pada mulanya, dua panda berkenaan dijadual tiba pada 16 April, tetapi berikutan kejadian itu (kehilangan pesawat MH370), Duta Besar China berkata mereka akan menghantar dua haiwan berkenaan pada akhir Mei.
"Mereka hendak mencari kotak hitam dulu," kata Palanivel kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Upacara menghantar panda itu sepatutnya diadakan di Pusat Kawalan Penyakit Dujiangyan di Chengdu.
Pada Februari, dua panda gergasi itu dipindahkan dari Pusat Panda Bifengxia di Ya’an ke Dujiangyan, kedua-duanya di wilayah Sichuan.
Dua haiwan itu dikenakan kuarantin sejak tiba di Dujiangyan sebagai persiapan bagi penghantarannya ke Malaysia.
Program panda ini menjadi simbol sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun ini.
Ia susulan kepada perjanjian kerjasama yang ditandatangani antara kedua-dua negara pada 15 Jun 2012. - Bernama
No comments:
Post a Comment