Friday, April 11, 2014

Yayasan ISA bela keluarga tahanan ISA

 khalid ibrahim

SHAH ALAM - [VIDEO] Yayasan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ditubuhkan bagi membantu keluarga tahanan dari segi kewangan dan pendidikan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid mengumumkan perkara tersebut pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri, lewat petang tadi.

Mengulas lanjut mengenai pengumuman berkenaan, Abdul Khalid berkata ia dalam proses penubuhan.

"... jawatankuasa yang menentang ISA terdiri daripada keluarga-keluarga yang suaminya telah ditahan dalam ISA telah membuat kumpulan dan oleh kerana ISA sudah dimansuhkan, jawatankuasa itu telah dibubarkan.

"Namun, saya berpendapat oleh kerana mereka telah mencuba untuk membawa keadilan kepada negeri dan negara, daripada segi tahanan yang tidak mendapat keputusan mahkamah. Yayasan itu dalam proses penubuhan," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Annexe selepas persidangan Dun selesai, hari ini.

Menurutnya, dana-dana bakal disalurkan untuk pembangunan keluarga tahanan.

"Terdapat ahli-ahli keluarga mereka yang menghadapi masalah kewangan dan pendidikan.

"Jadi, usaha kita menubuhkan yayasan ini supaya dapat mengumpulkan dana-dana yang akan kita salurkan untuk pembangunan keluarga mereka. RM500,000 itu pusingan awal," katanya.

Peruntukan RM500,000 melalui geran Selangorku sebagai pusingan awal itu akan disalurkan kepada yayasan berkenaan.

Adun Kajang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan Pengerusi Yayasan ISA tersebut.

No comments:

Post a Comment